Solat atau
sembahyang adalah rukun kedua yang menjadi asas terbinanya Islam. Solat juga
merupakan tiang agama dan satu ibadah wajib ke atas setiap umat Islam melakukannya
dalam apa jua keadaan selagi akalnya masih waras. Dalam al-Quran terdapat lebih
25 tempat ayat " اَقَامَ "
yang merujuk kepada makna perintah mengerjakan atau mendirikan solat dan
terdapat lebih 70 kali perkataan " الصلاة "
atau sembahyang diulang dan disebut dalam al-Quran, antaranya Firman Allah SWT:
Yang bermaksud: "Kemudian
apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut
dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.
Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka
dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya
sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang
beriman, yang tertentu waktunya."
(Surah an-Nisa'
: 103)
Sebagai umat Islam,
samada remaja, muda-mudi, dewasa, lelaki mahupun perempuan hendaklah memerhati,
memahami dan menghalusi sehalus-halusnya perintah solat ini. Sebab itu, Baginda
nabi SAW telah berpesan kepada umat Islam sejak 1400 tahun lalu supai ibu bapa
mengajar dan menyuruh anak-anak tentang ibadah sembahyang sejak umur mereka 7
tahun dan pukullah mereka jika enggan sembahyang ketika berumur 10 tahun. Kita wajib
berdoa mengharapkan anak-anak dan keturunan kita sentiasa mendirikan sembahyang
sesuai dengan Firman Allah:
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami!
kurniakanlah keampunan kepada ku dan kepada kedua ibu bapa ku serta kepada orang-orang
yang beriman, pada masa berlakunya hisab dan pembalasan."
(Surah Ibrahim : 40)
Begitu juga kita hedaklah menyuruh kaum keluarga kita mengerjakan solat seperti
Firman Allah dalam surah Toha ayat 132 yang berbunyi:
Maksudnya: "Dan perintahkanlah
keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun
bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang
memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang
yang bertakwa."
Di sini dapat
difahami betapa besarnya kepentingan sembahyang kepada orang-orang Islam yang
beriman, di antaranya:
1.
Solat dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa
mengingati Allah.
Firman Allah SWT:
Yang bermaksud:
"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah
akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku."
(Surah Toha
ayat : 14)
Berdasarkan maksud
ayat tersebut sembahyang adalah jalan bagaimana untuk kita sentiasa mengingati
Allah SWT. Sekaligus sembahyang juga merupakan tanda pengabdian dan syukur
seorang hamba kepada Allah SWT. Atas segala nikmat dan rahmat yang Allah
kurniakan kepada kita.
2.
Solat dapat
menghapus dosa.
Kita umat Islam tidak terlepas dari melakukan dosa dan solat lima kali
sehari semalam dapat menghapuskan dosa yang dilakukan. Sebagaimana yang
dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:
"عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ
عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
اَلصَّلاَةُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا
بَيْنَهُنَّ مَا لَمْ تَغْشِ الْكَبَائِرَ."
Bermaksud: "Dari
Abi Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Sembahyang lima waktu dan sembahyang
Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu sembahyang-sembahyang
itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar."
(Hadis riwayat
Muslim)
3.
Solat dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.
Solat yang
dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukun-rukunnya boleh mencegah
orang yang melakukannya dari melakukan maksiat dan kemungkaran. Firman Allah SWT:
Yang
bermaksud: "…. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari
perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih
besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang
kamu kerjakan."
(Surah al-Ankabut
: 45)
4.
Solat dapat memberi barakah hidup dan berbahagia
kehidupan.
Kehidupan orang
yang memelihara solat jauh berbeda dengan orang yang meninggalkannya. Ini Jelas
kita melihat orang yang memelihara solat kehidupannya dipenuhi dengan
keberkatan dan kebahagiaan. Sebagaimana Firman Allah yang berbunyi:
Maksudnya: "Sesungguhnya
berbahagia \ berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam
sembahyangnya."
(Surah
al-Mukminun : 1-2)
Perlu diingatkan,
bahawa solat adalah ibadah yang diterima oleh Baginda nabi SAW secara langsung
daripada Allah SWT, ketika nabi SAW mengadap Allah SWT di “Sidratul
Muntaha” dalam peristiwa Isra’ Mikraj adalah berbeza dengan ibadah lain
seperti ibadah puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu
dengan perantaraan malaikat Jibril AS pembawa wahyu. Ini adalah satu kenyataan
bahawa ibadah sembahyang itu terlalu istimewa di sisi Allah SWT.
Dari segi
perubatan dan kesihatan solat yang khusyuk boleh mendamaikan jiwa, mengawal tekanan
perasaan dan menjadikan tubuh badan menjadi sihat serta cergas. Begitu juga, Rasulullah
SAW ketika berhadapan masalah, akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi baginda
adalah amalan penyejuk hati.
Seterusnya
golongan yang memperkecilkan solat merupakan golongan yang sesat. Dalam surah Maryam
ayat 59, Allah berfirman :
Maksudnya: "Maka
datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta
mengikut hawa nafsu maka kelak mereka akan menemui kesesatan."
Abdullah bin
Abbas berkata maksud mensia-siakan solat bukanlah meninggalkan solat sama
sekali tetapi melewatkan dari waktunya. Imam Said Ibni al-Musayyib berpendapat
iaitu mereka melaksanakan solat Zuhur dalam waktu Asar, solat Asar di dalam
waktu Maghrib, solat Maghrib di dalam waktu Isyak dan solat Isyak ditangguhkan
sehingga masuk waktu subuh serta solat subuh dilaksanakan selepas matahari
terbit. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat dia akan
dihumbankan ke dalam sebuah lembah yang bernama "Ghaiy" di dalam
neraka dan diberikan makanan yang amat jijik. Hal ini disebutkan oleh Said Hawa
dalam kitab "الأَسَاسُ فِى
التَفْسِيْرِ". Jika bersolat fardhu di luar waktu
sudah begini hukumnya, bayangkanlah azab yang bakal menimpa mereka yang tidak
bersolat fardhu sama sekali.
Justeru melaksanakan
solat fardhu dalam waktu yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada disiplin
Islam yang wajib dilaksanakan. Sabda nabi SAW:
"عَنْ
أَبِيْ عَمْرٍو الشِّيْبَانِيْ قَالَ، قَالَ عَبْدُ اللهِ بْنُ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ
اللهُ عَنْهُ سَأَلْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قُلْتُ
يَارَسُوْلَ اللهِ أَيُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ؟ قَالَ: اَلصَّلاَةُ عَلَى
مِيْقَاتِهَا. قُلْتُ ثُمَّ أَيُّ؟ قَالَ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ. قُلْتُ ثُمَّ
أَيُّ؟ قَالَ اَلْجِهَادُ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ."
Maksudnya: "Dari
Abi Amr asy-Syibani katanya, Abdullah bin Mas'ud pernah bertanya kepada nabi SAW
apakah amalan yang paling Allah sukai?. Nabi menjawab: Solat tepat pada
waktunya. Ia bertanya lagi kemudian apa? Baginda menjawab: Melakukan kebaikan
kepada kedua ibu bapa. Ia bertanya lagi kemudian apa? Baginda menjawab: Melakukan
jihad pada Agama Allah SWT."
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Maksudnya: "Sesungguhnya
kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak
(di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu
semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang
yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang
diingininya)."
(Surah al-Kausar
ayat : 1-3)
Sumber :http://www.islam.gov.my





No comments:
Post a Comment